dipetik dari sebuah laman web...
( Cerpen didedikasikan khas buat memperingati pembunuhan tragis sukarelawan Amerika, Rachel Aliene Corrie yang mati digilis bulldozer Israel pada 16 Mac 2003 )
* * *
Saya kirim foto lagi buat tatapan kalian. Biar ia menceritakan segala. Mama, saya rindukan rumah. Tapi maaf, saya belum mahu pulang. Tanah ini mengajar saya erti syukur dan sederhana. Mama, saya rindukan kalian. Peluk cium saya untuk mama, papa, Allen dan Cody juga salam sayang dari teman-teman saya di sini. Sampai bertemu lagi dengan kasih sayang dan kerinduan.
Anakanda Rachel Rafah, Gaza.
* * *
"Triiit....". Rachel menyambar telefon bimbit, lihat nombor Sidney tertera.
"Hei Rach, kami tunggu awak di rumah Encik Sofwan. Jangan lewat ok".
"Ya Sid, saya datang".
Pagi sudah mula memanas. Kejiranan Bir Naema lengang dan senyap-sunyi. Sebahagian besar rumah di situ telah dimusnahkan oleh tentera Yahudi. Hanya sebahagian kecil yang masih tinggal. Anak-anak mereka yang berkeliaran bermain di celah runtuhan berlari mendekat sebaik melihat kedatangan mereka.
"Hei Rachel, kaif Bush?"
"Bush majnoon", sambut Rachel galak dengan gayanya mengundang tawa kumpulan kanak-kanak itu.
Matahari terik memanah ubun-ubun. Rachel menyeka peluh yang meleleh di dahi. Rambut perangnya diikat kasar sambil mendengar perbualan Matt dan Sean sekali lalu. Will berbaring santai di atas pasir sementara dia dan Sidney masih di mulut perigi, mencabut rumput yang tumbuh meliar.
Itulah kerja mereka saban hari, menjaga sumber air penduduk yang sering menjadi sasaran Yahudi untuk diracun. Dari enam telaga yang ada di kawasan itu, empat daripadanya sudah tidak boleh digunakan. Kini perhatian mereka seratus peratus tertumpu kepada dua telaga yang berada di Bir Naema itu.
Pernah mereka didatangi sekumpulan tentera Yahudi dengan selori pasir mahu menimbus perigi itu. Tetapi akhirnya ketegasan dan diplomasi mereka berjaya menyekat niat si penjajah. Sekumpulan tentera itu pergi begitu sahaja. Yahudi sebenarnya pengecut.
Rachel mengimbas kata-kata Ruqayya, anak perempuan Dr. Nasralla yang menjadi keluarga angkatnya di situ. Ruqayya sering menceritakan pengalamannya berdepan dengan tentera Yahudi. Selalu juga dibacakan kisah-kisah Yahudi di dalam Al-Quran. Penipu, pengkhianat, pembunuh, semua dilihat kebenarannya di depan mata. Kadang-kadang takjubnya sampai membuat dia terfikir bahawa kitab orang Islam itu benar.
"Malam ni kita semua dipanggil berkumpul di pejabat", Sean bersuara menarik perhatian teman-teman.
"Israel akan lancarkan semula operasi 'pembersihan rumah'. Mungkin Nick akan bahagikan kita ikut kawasan jagaan nanti".
Operasi pemusnahan kediaman penduduk di sempadan Rafah berjalan dengan rancak ketika dia mula tiba di Gaza awal tahun itu. Penduduk yang tidak berdaya melawan hanya mampu melihat rumah mereka ranap di depan mata. Namun operasi itu telah berjaya dihentikan sebulan lepas lantaran menerima tentangan hebat kumpulan mereka. Pihak Yahudi yang bersenjatakan bulldozer agam setinggi bangunan dua tingkat alah dengan mereka yang cuma bersenjatakan pembesar suara. Rumah terakhir yang berjaya mereka selamatkan adalah rumah Dr. Nasralla, ayah angkatnya sendiri.
"Saya sudah mengenalpasti beberapa kawasan yang menjadi sasaran utama Israel. Di setiap kawasan ini saya akan letakkan satu kumpulan kecil yang saya sudah bahagikan".
Rachel kembali ke ruangan sederhana luas itu, ibu pejabat rasmi Gerakan Solidariti Antarabangsa cawangan Gaza. Nicholas, ketua mereka yang berbangsa Jerman tegas memberi taklimat di hadapan.
"Dennis, Tom, Hannah dan Rachel, awak semua di Bir Naema".
Bayu malam awal musim bunga dingin menghembus kulit. Rachel bergulung di dalam selimut lusuh memerhatikan Ruqayya, menghayati bacaan Al-Qurannya di tengah kesenyapan malam. Suaranya biasa-biasa tapi cukup menghadirkan perasaan luarbiasa kepada Rachel yang mendengar penuh takjub.
"Kamu belum tidur?"
Terkejut dia disapa Ruqayya yang entah bila menyudahkan bacaan. Si manis tujuh belas itu meniarap di sebelah, membentang buku sekolahnya yang sudah tidak berkulit.
"Rachel, saya masih tak faham. Kenapa kamu datang ke sini?", seperti biasa gadis bijak itu memulakan topik. "Kamu semua hidup selesa di negara masing-masing, apa yang kamu cari lagi di sini?"
Rachel mengerdip mata. Ah, gadis mentah ini...jiwanya terlalu polos! "Kami tak miliki segalanya, Ruqayya...dan di sini kami temui apa yang kami cari"
"Apa yang kamu cari?" "Kemanusiaan". Ruqayya melongo tak mengerti. "Kamu cari kemanusiaan di tempat yang tiada perikemanusiaan ni?"
Rachel senyum dalam samar lilin. Ruqayya bingkas duduk.
"Kamu semua sukarelawan GSA, Kamu berdiri melindungi rumah-rumah kami dengan tangan kosong...kamu sedar tak dengan siapa kamu berhadapan? Kamu tahu tak kamu gila?".
Rachel bangkit perlahan merenung mata Ruqayya yang berkaca. "Ruqayya, kami datang menentang dangan aman. Kami pertaruhkan status 'antarabangsa' kami untuk melindungi bangsa kamu. Bukankah kita semua warga dunia yang perlu saling membantu?"
Ruqayya tunduk. Bahunya terhinggut-hinggut.
"Rachel, kamu orang Kristian...datang dari jauh untuk menyapu airmata kami...sedangkan saudara Islam kami yang dekat menolong musuh untuk menumpahkan darah kami...". Rachel dijentik pilu. Tubuh kurus Ruqayya didakap ke dada. "Rachel, masuklah Islam. Jadilah saudara kami."
Deruman enjin jentolak bergema dibawa angin. Cukup memberi kepastian akan kemaraan tentera Yahudi mahu memusnahkan kediaman penduduk Gaza. Rachel masih di tepi perigi itu, mengulum gundah. Khuatir akan keselamatan rumah keluarga angkatnya di Haiyu Salam yang menjadi sasaran utama. Matanya merenung ke ufuk.
Pagi tadi dia tidak sempat bertemu Ruqayya. Ruqayya sudah ke sekolah ketika dia bangkit dari lena. Mujur dia sempat meninggalkan nota, harap Ruqayya akan menyimpannya sebagai kenang-kenangan. Kata-kata Ruqayya malam tadi masih berlegar di benak. Masuklah Islam, jadilah saudara kami. Akibatnya dia bermimpi pelik malam tadi.
Mimpi pelik yang indah, dia bertemu bonda Maria yang bertudung litup seperti Ruqayya. Bonda Maria memegang tangannya mesra dan berbisik, "Anakku, Allah cuma satu. Tidak lahir dan tidak melahirkan.". Namun baru hendak memikirkan maksud mimpi itu, panggilan dari Jesse, sukarelawan Kanada membuatnya tersentak.
"Rachel, lekas pulang ke Haiyu Salam. Rumah Dr. Nasralla akan dirobohkan!"
Kejiranan Haiyu Salam heboh. Bunyi dengungan jentolak melantun-lantun di udara. Penduduk mengerumuni rumah Dr. Nasralla melihat para sukarelawan berkumpul menghalang jentolak dari terus mara. Kumpulan sukarelawan yang asalnya berlima mula bertambah. Seorang demi seorang datang bergabung.
"Sila berhenti. Anda tidak berhak memusnahkan harta orang lain", suara Liam, sukarelawan China bergema dari corong pembesar sementara Khaled dan Omar dari Turki mengibar kain rentang gerakan mereka.
Rachel berlari terkocoh-kocoh. Bersyukur dia sempat tiba. Pandangan lantas menerpa wajah Sidney yang berlumur cemas. "Rach, diorang nekad. Seorang remaja dah ditembak. Tak tahulah kali ni dapat selamat ke....."
"Ssyttt...", Rachel menggeleng memotong. Tanpa sepatah kata dia meninggalkan Sidney, segera mendapatkan megafon dari Liam. Darahnya benar-benar mendidih. "Tentera Israel, sila tinggalkan tempat ini. Kami merayu anda, sila berundur sekarang".
Jentolak 300 meter di hadapan mengaum garang. Rachel melambai-lambai saat jentolak itu mara perlahan. "Berhenti! Sila berhenti. Kami dari Gerakan Solidariti Antarabangsa minta anda berhenti sekarang!" Rachel nekad berlutut ke tanah. Tangan didepang ke udara. Hari ini tubuhnya dijadikan perisai. Hannah di belakang memanggil cemas. Begitu juga suara Tom, Will dan teman-teman yang kian tenggelam jauh. Rachel tidak peduli. Yahudi laknat itu sangka cuma mereka ada kehendak?
Ngauman bertukar perlahan. Jentolak berhenti beberapa inci di hadapannya menolak timbunan tanah ke lutut. Rachel bingkas memanjat timbunan itu hingga ke puncak. Jelas dia melihat pemandu jentolak dengan seorang askar Yahudi di dalam kokpit. Tangan dilambai memberi isyarat. "Sila berundur. Kamu faham tak? Berundur sekarang!"
Ruqayya berlari termengah-mengah mendapatkan orang ramai yang mengerumuni rumahnya. Dengan beg sekolah masih di bahu, dia menyusup ke belakang rumah. Terbelalak melihat Rachel di atas timbunan tanah di depan jentolak. Ruqayya menerpa ke tanah lapang tapi segera ditarik Ummu Zainab, jirannya. Jiran-jiran yang lain mula mara mahu mengepung Yahudi-Yahudi itu namun tiba-tiba jentolak bergerak semula melanggar timbunan tanah di depan.
Rachel hilang keseimbangan. Jatuh terbenam. Jentolak bergerak terus. Sidney menjerit haru. Kumpulan aktivis tergamam kaku. Dr. Nasralla menerpa marah. Ruqayya menangis histeria.
Rachel mendengar semuanya sayup-sayup dari bawah jentolak gergasi Caterpillar D9. Dia lihat Bonda Maria dalam mimpinya. Bonda Maria tersenyum manis menghulurkan tangan.
"Anakku, Allah tuhan yang satu. Tidak lahir dan tidak melahirkan. La ilaha illallah."
* * *
Dear Ruqayya, We should be inspired by people like you who show that human beings can be kind, brave, generous, beautiful, strong, even in difficult circumstances. Follow your dreams, believe in yourself and don't give up.
Much love and respect, Rachel from Olympia, Wahington, US.
* * *